Membaca
satu amalan mulia yang dapat membentuk insan berilmu pengetahuan. Hanya
dengan ilmu pengetahuan tinggi, manusia dapat mencipta kejayaan gemilang
seterusnya membentuk satu tamadun terbilang.
Inilah
yang dilakukan oleh tokoh ilmuwan Islam terdahulu seperti Ibn Sina, Ibn
Al-Haitham, Al-Biruni, Al-Khawarizmi dan ramai lagi. Segala bentuk
khazanah ilmu berjaya mereka kaji dan terokai, bertitik tolak daripada
proses pembacaan mendalam hingga menghasilkan penemuan bernilai serta
berkualiti.
Maka
selayaknya bagi tokoh ilmuwan bersama berjihad dalam bidang ilmu, mendapat
pengiktirafan tinggi di sisi Allah.
Firman
Allah SWT yang bermaksud:
“Allah
akan meninggikan martabat orang yang beriman di antara kamu dan orang
diberikan ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) beberapa darjat.” (Surah
al-Mujadalah, ayat 11)
Ibu
bapa mampu memupuk minat suka membaca di kalangan anak melalui pelbagai
kaedah seperti pemberian buku bacaan ringan dan bagi yang berkemampuan,
menyediakan mini perpustakaan di rumah dalam usaha membudayakan ilmu dalam
suasana kondusif.
Pemilihan
bahan bacaan, terutama yang berkualiti juga penting untuk membina jati
diri Muslim bukan saja berilmu, juga berakhlak mulia. Lambakan bahan bacaan
di pasaran jika tidak ditapis sesuai usia serta minat anak boleh memberi
kesan sebaliknya.
Oleh
itu, ibu bapa perlu memilih serta menapis buku atau bahan bacaan untuk
diberi kepada anak dalam usaha meningkatkan minat terhadap
ilmu pengetahuan melalui proses bacaan. Pastinya ibu bapa tidak mahu
anak terdedah pengaruh serta ideologi negatif disebarkan melalui
bahan bacaan.
Kehebatan
dunia teknologi zaman ini sedikit sebanyak menurunkan minat golongan
remaja untuk memilih buku sebagai bahan bacaan utama. Kebanyakan lebih
suka duduk berjam-jam di hadapan komputer melayari internet daripada
memperuntukkan sebahagian masa membaca buku.
Tanpa
menafikan peranan internet yang tidak kurang pentingnya ketika ini, usaha
perlu diteruskan bagi memupuk minat masyarakat untuk membaca buku yang
lebih berbentuk ilmiah serta dipenuhi fakta yang jelas dan tepat.
Kitab
Nashr Thoy at-Ta’rif karangan Muhammad Abd Ar-Rahman bin Umar bin Muhammad
menyatakan Imam Syafi’e pernah berkata yang maksudnya: “Sesiapa yang
hendakkan kejayaan di dunia maka hendaklah dengan ilmu, dan sesiapa yang
hendakkan kejayaan di akhirat maka hendaklah dengan ilmu.”
Perlu
menjadi ingatan bahawa keghairahan menerokai ilmu pengetahuan dan membaca
bahan ilmiah bertimbun banyaknya, tidak sesekali menjadi alasan kepada
kita untuk meninggalkan al-Quran sebagai salah satu bahan bacaan seharian.
Ini
bertepatan dengan martabatnya sebagai kalamullah dan sumber utama bagi
segala bentuk ilmu pengetahuan sama ada berkaitan dunia mahupun akhirat.
Sesungguhnya ilmu Allah itu luas umpama hamparan lautan yang tidak
bertepian.
Oleh
itu, menjadi kewajipan kepada hamba-Nya untuk menimba seberapa banyak ilmu
terkandung dalam al-Quran kerana mendalami isi kandungan kitab Allah SWT
secara tidak langsung mendekatkan hamba kepada Penciptanya.
Firman
Allah SWT yang bermaksud:
“Katakanlah
(wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis
kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis
kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambah lagi dengan lautan yang sebanding
dengannya, sebagai bantuan.” (Surah al-Kahf, ayat 109)
Jika
direnung pula tuntutan membaca melalui penurunan surah al-‘Alaq, bukan
saja meletakkan ilmu sebagai asas utama menimba pengetahuan tetapi juga
cara menyebarkan dakwah menyeru kepada mentauhidkan Allah.
Firman
Allah SWT yang bermaksud:
“Bacalah
(wahai Muhammad) dengan nama Tuhan yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia
menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang
Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia
mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah al-’Alaq, ayat
1-5)
Amalan
membaca menghasilkan petunjuk yang akan memandu manusia ke arah kehidupan
lebih sempurna.
Istimewanya
bagi mereka yang bersungguh menuntut ilmu, membaca akan menjadi satu
tabiat sukar dipisahkan daripada aktiviti seharian.