Kelakuan, kebolehan dan keupayaan
membaca, dan minat golongan muda ini berbeza-beza mengikut peringkat umur.
Setiap peringkat mempunyai ciri-ciri psikologi yang berbeza. Oleh itu,
persembahan dan penyampaian yang sesuai amat diperlukan dalam sesebuah bahan
bacaan . Secara umumnya kanak-kanak dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan umur
seperti yang berikut:
1. umur 0-6 tahun (peringkat
prasekolah)
Kanak-kanak pada peringkat umur ini
belum lagi mempunyai fikiran yang kritis untuk memahami sebab dan akibat atau
cara dan tujuan. Pengetahuan mereka tentang kenyataan adalah sangat sederhana.
buku-buku untuk peringkat umur ini harus
mengandungi teks yang pendek, penuh dengan aksi mudah yang menuju kepada
kesimpulan yang memuaskan. Ia juga harus mempunyai perkaitan dengan dunia
sehariannya agar dapat membantu mereka memahami dan menginterpretasikan dunia
sekelilingnya.
2. umur 6-8 tahun
Kanak-kanak yang berada pada peringkat
umur ini mempunyai sifat ingin tahu dan mereka juga sudah mula mengerti serba
sedikit apa-apa yang dibicarakan oleh orang dewasa. Kanak-kanak selalunya
telah bersedia untuk membaca jika tertanya-tanya tentang huruf dan perkataan
dalam buku, akhbar atau kertas; meluangkan masa “membaca” buku-buku
bergambarnya;
suka mendengar cerita;
berminat dalam perkataan-perkataan dan
leka untuk meningkatkan tatabahasanya; dan
berpura-pura menulis dan membaca—cuba
untuk menyalin huruf-huruf dan nombor.
Pada peringkat ini, mereka mungkin sudah
boleh membaca buku yang mengandungi teks yang banyak. Buku-buku bergambar juga
masih sesuai untuk mereka kerana gambar-gambar yang terdapat dalam buku boleh
memberi gambaran kepada teks. Mereka juga berminat dalam hal-hal yang berkaitan
dengan binatang dan alam semula jadi.
3. umur 8-10 tahun
Pada peringkat ini, kanak-kanak
mempunyai daya imaginasi yang semakin berkembang dan mereka seronok dengannya.
Oleh itu, untuk membantu kanak-kanak memenuhi keperluannya ketika berimaginasi,
bahan bacaan yang mengandungi cerita dongeng dan cerita rakyat amat sesuai
digunakan untuk mereka.
4. umur 10-12 tahun
Pada peringkat ini, mereka telah
mempunyai sikap kritis terhadap unsur-unsur kenyataan dan bersedia untuk
menerima pengetahuan baharu. Perkembangan tatabahasanya juga berkembang
dengan cepat dan mempunyai kebolehan yang tinggi dalam mengungkapkan idea-idea
yang abstrak. Mereka juga berusaha belajar untuk mendapatkan maklumat daripada
buku. Mereka sudah mampu mengikuti arahan-arahan yang terdapat dalam buku
mereka. Oleh itu, pada peringkat ini, buku yang berhubung dengan seni dan kerja
tangan mampu menarik minat mereka.
Di samping itu, kanak-kanak lelaki dan
perempuan sudah mula menunjukkan minat yang berbeza. Pada usia ini, kanak-kanak
perempuan lebih berminat kepada alam persekolahan, kisah binatang, fantasi, dan
sejarah manakala kanak-kanak lelaki pula lebih menggemari kisah pengembaraan,
cerita lucu, dan buku yang berkaitan dengan subjek hobi, saintifik dan
teknikal.
0 comments:
Post a Comment